jalan2 dan terjumpa kisah menarik...
and haaa...lupa nak update about my 8,9,10 and counting of my practical training :p
Tajuk : Taubat Seorang Ketua Perompak .Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.Kisah ini berlaku ketika Imam Hambali masih didalam kandungan ibunya dan belum dilahirkan lagi.Pada waktu itu bapa Imam Hambali, Muhamad bersama ibunya ingin berhijrah ke Baghdad dari Khurasan lalu mereka pun menyertai satu kafilah dagang dari Khurasan.
Ketua kafilah dagang , iaitu Sheikh Ali al-Khurasani dan seluruh anggota rombongan itu amat mempercayai kejujuran hati dan memuji akhlak bapa imam Hambali, lalu mereka pun mengumpulkan semua wang mereka dan menyerahkan kepadanya untuk dijaga sepanjang perjalanan mereka kerana bimbang dirompak oleh perompak padang pasir.Ketua kafilah bimbang dia akan menjadi sasaran lanun kerana dia adalah ketua kafilah.
Walaupun menolak permintaan ketua kafilah itu , tetapi ketua kafilah tetap mahu beliau menjaga amanah itu dan menyerahkan kembali kepadanya bila sampai di Baghdad nanti.Dia pun terpaksa menerima amanah itu dengan rasa penuh tanggungjawab. Berat sekali amanah yang terpaksa dipikul oleh bapa imam Hambali kerana jumlah wang itu sangat banyak iaitu 100,000 dinar.Untuk mengelakkan diserang dan dirompak lanun, Sheikh Ali mengarahkan semua ahli rombongan menukarkan pakaian mereka kepada pakaian ihram untuk mengelirukan lanun padang pasir agar mereka dilihat sebagai rombongan yang ingin mengerjakan haji kerana biasanya rombongan haji tidak diganggu .
Bila tiba disatu daerah di antara Abu Warda dan Sirjis, tanpa disedari rombongan mereka sedang diintip oleh seorang ahli kumpulan perompak yang paling digeruni yang diketuai oleh Fazil bin Ayaz.
Fazil bin Ayaz seorang ketua perompak yang terkenal dan amat ditakuti oleh kafilah dagang yang melalui kawasan itu, namun dia tidak pernah meninggalkan solat 5 waktu, dia berpuasa sepanjang bulan Ramadhan dan mengeluarkan zakat! pernah dia ditanya kenapa dia masih merompak sedangkan dia juga seorang islam yang taat kepada segala perintah Allah, lalu dia menjawab:
“Aku merompak kerana itu saja kebolehan yang aku ada bagi mencari rezeki.Aku bersembahyang dan mengeluarkan zakat kerana mengharapkan keampunan dari Allah”
Pada suatu hari Fazil memasuki sebuah rumah seorang gadis yang paling cantik dikampungnya untuk memperkosa gadis itu, lalu tiba-tiba dia terdengar gadis itu sedang membaca al-quran , surah al-Hadid ayat 16 yang bermaksud :
“Belumkah sampai waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka bagi mengingati Allah serta tunduk kepada kebenaran yang telah diturunkan (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah turun al-kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka tetapi hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasiq” [Al-Hadid : 16]
Selepas mendengar ayat tersebut, Fazil tidak jadi memperkosa gadis itu lalu terus keluar dan terus berazam untuk bertaubat kepada Allah swt.
Pada hari dia bertembung dengan rombongan kafilah yang disertai oleh ayah Imam Hambali itu pun hatinya sudah bertekad mahu bertaubat dan itulah rompakannya yang terakhir.Dia terpaksa merompak juga pada hari itu kerana desakan kawan-kawannya.
Selepas solat asar, Muhamad ( bapa imam Hambali ) pun pergi duduk bersama dengan isterinya yang sedang mengandung jauh sedikit dari peserta rombongan lelaki yang baru selesai solat kerana hanya isterinya satu satunya peserta wanita dalam rombongan itu.
Fazil menyuruh anak buahnya saja pergi memeriksa dan merompak .Dia hanya berpesan supaya jangan membunuh orang yang dirompak kecuali jika dalam keadaan terpaksa sahaja. Fazil pun duduk berseorangan dan hanya memandang dari jauh .
Ketika rombongan mereka sedang diperiksa, Muhamad, bapa imam Hambali pun melihat ada seorang lelaki yang berbadan tegap dan memegang senjata sedang duduk sendirian.Tanpa melengah-lengahkan masa Muhamad pun terus berlari mendapatkan lelaki itu lalu berkata :
“Kami sedang dirompak.Tetapi saya yakin tuan seorang yang baik.Tolong simpankan bungkusan ini kerana didalamnya ada harta yang diamanahkan kepada saya untuk menjaganya.Selepas perompak itu pergi ,pulangkanlah semua bungkusan yang berisi harta ini kepada saya” kata Muhamad.
“Adakah kamu yakin saya tidak akan melarikan bungkusan harta ini?” tanya Fazil.Muhamad pun menjawab :
“Saya yakin tuan seorang yang baik, kerana itu saya bersangka baik dengan tuan, sebentar tadi saya sudah berdoa semoga Tuhan memberi taufik dan hidayah terhadap tuan supaya tidak mengkhianati saya” kata Muhamad.Fazil terkejut dengan jawapan itu kerana masih ada lagi orang yang sudi mendoakan orang jahat sepertinya agar diberikan hidayah.
“Betulkah kamu jemaah haji yang sedang dalam perjalanan mengerjakan haji ke Tanah suci?” Tanya Fazil.
“Oleh kerana tuan jujur , maka saya mesti menjawabnya dengan jujur.Sebenarnya kami bukan jemaah haji, tetapi kami menyamar dengan memakai pakaian ihram agar tidak dirompak, tetapi nampaknya rancangan kami gagal kerana kumpulan perompak itu lebih cerdik dari kami” jawab Muhamad.
Tiba-tiba anak buah Fazil iaitu Malik datang memberi maklumat tentang rombongan itu, lalu terkejutlah Muhamad bapa imam Hambali bahawa orang yang telah diserahkan harta itu rupa-rupanya seorang ketua Perompak yang sedang merompak kafilah mereka.
Selepas Malik pergi, Fazil terus bertanya kepada Muhamad : “Apakah kamu terkejut bila mengetahui siapa aku sebenarnya?” Tanya Fazil kepada Muhamad.
“Saya masih yakin bahawa tuan orang yang baik, dan tuan tidak akan mengkhianati saya” jawab Muhamad.
Oleh kerana kejujuran dan perasaan baik sangka Muhamad terhadapnya, maka Fazil menjadi insaf dan tidak tergamak mengambil bungkusan wang itu lalu meyerahkan semula kepada Muhamad kerana takutkan Allah dan ingin bertaubat.
Tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian serba putih dan menunggang seekor kuda putih menghampiri mereka lalu berkata :
“Orang jahat yang banyak dosa itu masih lagi mempunyai peluang untuk bertaubat dari dosa-dosanya” lalu terus menghilangkan diri.
Peristiwa itu benar-benar membuatkan dia insaf, kerana Muhamad berkata lelaki itu mungkin malaikat yang diutuskan Tuhan bagi menyedarkan mereka.Fazil pun terus beristigfar dan memohon keampunan dari Allah swt.Dia pun terus memanggil semua ahli kumpulannya dan berucap di hadapan rombongan itu bahawa dia ingin bertaubat dan mahu memulangkan balik semua harta yang telah dirompak itu.Semua ahli kumpulannya patuh kepada arahannya tetapi mereka tidak mahu bertaubat lalu pergi meninggalkan Fazil bersama rombongan kafilah itu.Fazil pun segera meminta izin dari rombongan itu untuk menyertai mereka ke Baghdad bagi menuntut ilmu.Dia juga memohon maaf dari setiap ahli rombongan itu seorang demi seorang.
Kebetulan dalam rombongan itu, ada seorang pendeta Yahudi yang juga ingin pergi ke Baghdad, beliau selalu membaca kitab Taurat.Bila tiba giliran Fazil memohon maaf darinya, dia tidak mahu memaafkan Fazil kecuali dengan dua syarat.
Syarat yang pertama ialah agar Fazil memindahkan gunung pasir didepan mereka itu dengan segera.Permintaan pendeta itu mengejutkan Fazil dan semua ahli rombongan, namun dengan niat untuk berubah dan setelah dia bertaubat dan betul betul insaf, Fazil pun berkata :
“Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa, aku akan memohon bantuan kepadaNya” jawab Fazil lalu terus berdoa kepada Allah dengan penuh yakin . Tiba-tiba angin pun bertiup kencang lalu memindahkan bukit pasir didepan mata mereka itu ketempat yang lain.Semua mereka amat merasa kagum dengan kejadian itu.
Syarat yang kedua pula ialah, agar Fazil menukarkan seguni tanah liat yang diisi oleh pendeta yahudi tadi agar ia menjadi emas.Sekali lagi Fazil akur dengan permintaan pendeta itu lalu terus berdoa kepada Allah dengan penuh keyakinan dan khusyuk.Tiba-tiba tanah liat itu pun berubah menjadi emas.
Orang ramai yang terpegun dengan kejadian itu pun terus bertanya kepada pendeta yahudi itu bagaimana perkara yang ajaib itu boleh berlaku keatas ketua perompak yang baru bertaubat itu, lalu dia pun menjawab:
“Wahai sekalian manusia, dengarkanlah kata-kataku ini ; Aku telah membaca kitab Taurat,dalam kitab tersebut ada disebut bahawa seseorang yang bertaubat dan dia benar-benar bertaubat di atas segala dosa dan kesalahannya maka benar atau tidaknya dia bertaubat dapat dilihat dalam dua perkara.Pertama dia boleh memerintahkan gunung bergerak dan kedua dia boleh menukarkan tanah liat menjadi emas.Jadi aku menyuruh lelaki ini melakukan dua perkara tersebut untuk mengetahui kebenaran bahawa dia benar-benar bertaubat atau tidak.Sekarang barulah aku tahu bahawa lelaki ini benar-benar telah bertaubat dan taubatnya telah diterima oleh Tuhan, dia sudah menjadi orang yang baik dan mulia”Semoga cerita diatas dapat memberi pengajaran kepada kita semua. Sesungguhnya permohonan taubat nasuha yang benar benar ikhlas dari lubuk hati, dengan penuh penyesalan dan berazam dengan bersungguh-sungguh untuk meninggalkan perkara atau perbuatan keji akan mendapat keampunan dari Allah swt kerana Allah swt itu sangat Pengasih lagi amat Penyayang terhadap makhlukNya.
from here :)