jalan2 dan terjumpa kisah menarik...
and haaa...lupa nak update about my 8,9,10 and counting of my practical training :p
Tajuk : Taubat Seorang Ketua Perompak .
Artikel Oleh : Sangtawal Sakranta.
Kisah  ini berlaku ketika Imam Hambali masih didalam kandungan ibunya dan  belum dilahirkan lagi.Pada waktu itu bapa Imam Hambali, Muhamad bersama  ibunya ingin berhijrah  ke Baghdad dari Khurasan  lalu mereka pun   menyertai satu kafilah dagang dari Khurasan.
Ketua kafilah dagang  , iaitu Sheikh Ali al-Khurasani dan seluruh anggota  rombongan itu amat  mempercayai kejujuran hati dan memuji akhlak bapa imam Hambali, lalu  mereka pun mengumpulkan  semua wang mereka dan menyerahkan kepadanya  untuk dijaga sepanjang perjalanan mereka kerana bimbang dirompak oleh  perompak padang pasir.Ketua kafilah bimbang dia akan menjadi sasaran  lanun  kerana dia adalah ketua kafilah.
Walaupun menolak  permintaan ketua kafilah itu , tetapi ketua kafilah tetap mahu beliau  menjaga amanah itu dan menyerahkan kembali kepadanya bila sampai di  Baghdad nanti.Dia pun  terpaksa menerima amanah itu dengan rasa penuh  tanggungjawab. Berat sekali amanah yang terpaksa dipikul oleh bapa imam  Hambali kerana jumlah wang itu sangat banyak iaitu 100,000 dinar.Untuk  mengelakkan diserang dan dirompak lanun, Sheikh Ali mengarahkan semua  ahli rombongan menukarkan pakaian mereka kepada pakaian ihram untuk  mengelirukan lanun padang pasir agar mereka dilihat sebagai rombongan  yang ingin mengerjakan haji kerana biasanya rombongan haji tidak  diganggu .
Bila tiba disatu daerah di antara Abu Warda dan  Sirjis, tanpa disedari rombongan mereka sedang diintip oleh seorang ahli   kumpulan perompak yang paling digeruni yang diketuai oleh Fazil bin  Ayaz.
Fazil bin Ayaz seorang ketua perompak yang terkenal dan  amat ditakuti oleh kafilah dagang yang melalui kawasan itu, namun dia  tidak pernah meninggalkan solat 5 waktu, dia berpuasa sepanjang bulan  Ramadhan dan mengeluarkan zakat! pernah dia ditanya kenapa dia masih  merompak sedangkan dia juga seorang islam yang taat kepada segala  perintah Allah,  lalu dia menjawab:
“Aku merompak kerana itu saja  kebolehan yang aku ada bagi mencari rezeki.Aku bersembahyang dan  mengeluarkan zakat kerana mengharapkan keampunan dari Allah”
Pada  suatu hari Fazil memasuki sebuah rumah seorang gadis yang paling cantik  dikampungnya untuk memperkosa gadis itu, lalu tiba-tiba dia terdengar  gadis itu sedang membaca al-quran , surah al-Hadid ayat 16 yang  bermaksud :
“Belumkah sampai  waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk  tunduk hati mereka bagi  mengingati Allah serta tunduk kepada kebenaran yang telah diturunkan  (kepada mereka) dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya  telah turun al-kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang  atas mereka tetapi hati mereka menjadi keras, dan kebanyakan mereka  adalah orang-orang yang fasiq” [Al-Hadid : 16]
Selepas  mendengar ayat tersebut, Fazil tidak jadi memperkosa gadis itu lalu  terus  keluar dan terus berazam untuk bertaubat kepada Allah swt.
Pada  hari dia bertembung dengan rombongan kafilah yang disertai oleh ayah  Imam Hambali itu pun hatinya sudah bertekad mahu bertaubat dan itulah  rompakannya yang terakhir.Dia terpaksa merompak juga pada hari itu  kerana desakan kawan-kawannya.
Selepas solat asar, Muhamad ( bapa  imam Hambali ) pun pergi duduk bersama dengan isterinya yang sedang  mengandung  jauh sedikit dari peserta rombongan lelaki yang baru selesai  solat kerana hanya isterinya satu satunya peserta wanita dalam  rombongan itu.
Fazil menyuruh anak buahnya saja pergi memeriksa  dan  merompak .Dia hanya berpesan supaya jangan membunuh orang yang  dirompak kecuali jika dalam keadaan terpaksa sahaja. Fazil pun duduk  berseorangan dan hanya memandang dari jauh .
Ketika rombongan  mereka sedang diperiksa, Muhamad, bapa imam Hambali pun melihat ada  seorang lelaki yang berbadan tegap dan memegang senjata sedang duduk  sendirian.Tanpa melengah-lengahkan masa Muhamad pun terus berlari  mendapatkan lelaki itu lalu berkata :
“Kami sedang  dirompak.Tetapi saya yakin tuan seorang yang baik.Tolong simpankan  bungkusan ini kerana didalamnya ada harta yang diamanahkan kepada saya  untuk menjaganya.Selepas perompak itu pergi ,pulangkanlah semua  bungkusan yang berisi harta ini kepada saya” kata Muhamad.
“Adakah kamu yakin saya tidak akan melarikan bungkusan harta ini?” tanya Fazil.Muhamad pun menjawab :
“Saya  yakin tuan seorang yang baik, kerana itu saya bersangka baik dengan  tuan, sebentar tadi saya sudah berdoa semoga Tuhan memberi taufik dan  hidayah terhadap tuan supaya tidak mengkhianati saya” kata Muhamad.Fazil  terkejut dengan jawapan itu kerana masih ada lagi orang yang sudi  mendoakan orang jahat sepertinya agar diberikan hidayah.
“Betulkah kamu jemaah haji yang sedang dalam perjalanan mengerjakan haji ke Tanah suci?” Tanya Fazil.
“Oleh  kerana tuan jujur , maka saya mesti menjawabnya dengan jujur.Sebenarnya  kami bukan jemaah haji, tetapi kami menyamar dengan memakai pakaian  ihram agar tidak dirompak, tetapi nampaknya rancangan kami gagal kerana  kumpulan perompak itu lebih cerdik dari kami” jawab Muhamad.
Tiba-tiba  anak buah Fazil iaitu Malik datang memberi  maklumat tentang rombongan  itu, lalu terkejutlah Muhamad  bapa imam Hambali bahawa orang yang telah  diserahkan harta itu rupa-rupanya seorang ketua Perompak yang sedang  merompak kafilah mereka.
Selepas Malik pergi, Fazil terus  bertanya kepada Muhamad : “Apakah kamu terkejut bila mengetahui siapa  aku sebenarnya?” Tanya Fazil kepada Muhamad.
“Saya masih yakin bahawa tuan orang yang baik, dan tuan tidak akan mengkhianati saya” jawab Muhamad.
Oleh  kerana kejujuran dan perasaan baik sangka Muhamad terhadapnya, maka  Fazil menjadi insaf dan tidak tergamak mengambil bungkusan wang itu lalu  meyerahkan semula kepada Muhamad kerana takutkan Allah dan ingin  bertaubat.
Tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian serba putih dan menunggang seekor kuda putih menghampiri mereka lalu berkata :
“Orang jahat yang banyak dosa itu masih lagi mempunyai peluang untuk bertaubat dari dosa-dosanya” lalu terus menghilangkan diri.
Peristiwa  itu benar-benar membuatkan dia insaf, kerana Muhamad berkata lelaki itu  mungkin malaikat yang diutuskan Tuhan bagi menyedarkan mereka.Fazil pun  terus beristigfar dan memohon keampunan dari Allah swt.Dia pun terus  memanggil semua ahli kumpulannya dan berucap di hadapan rombongan  itu  bahawa dia ingin bertaubat dan mahu memulangkan balik semua harta yang  telah dirompak itu.Semua ahli kumpulannya patuh kepada arahannya tetapi  mereka tidak mahu bertaubat lalu pergi meninggalkan Fazil bersama  rombongan kafilah itu.Fazil pun segera meminta izin dari rombongan itu  untuk menyertai mereka ke Baghdad bagi menuntut ilmu.Dia juga memohon  maaf dari setiap ahli rombongan itu seorang demi seorang.
Kebetulan  dalam rombongan itu, ada seorang pendeta Yahudi yang juga ingin pergi  ke Baghdad, beliau selalu membaca kitab Taurat.Bila tiba giliran Fazil  memohon maaf darinya, dia tidak mahu memaafkan Fazil kecuali dengan dua  syarat.
Syarat yang pertama ialah agar Fazil memindahkan gunung pasir didepan mereka itu dengan segera.Permintaan  pendeta itu mengejutkan Fazil dan semua ahli rombongan, namun dengan  niat untuk berubah dan setelah dia bertaubat dan betul betul insaf,  Fazil pun berkata :
“Sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa, aku  akan memohon bantuan kepadaNya” jawab Fazil lalu terus berdoa kepada  Allah dengan penuh yakin . Tiba-tiba angin pun bertiup kencang lalu  memindahkan bukit pasir didepan mata mereka itu ketempat yang lain.Semua  mereka amat merasa kagum dengan kejadian itu.
Syarat yang kedua pula ialah, agar Fazil menukarkan seguni tanah liat yang diisi oleh pendeta yahudi tadi agar ia menjadi emas.Sekali  lagi Fazil akur dengan permintaan pendeta itu lalu terus berdoa kepada  Allah dengan penuh keyakinan dan khusyuk.Tiba-tiba tanah liat itu pun  berubah menjadi emas.
Orang ramai yang terpegun dengan kejadian  itu pun terus bertanya kepada pendeta yahudi itu bagaimana perkara yang  ajaib itu boleh berlaku keatas ketua perompak yang baru bertaubat itu,  lalu dia pun menjawab:
“Wahai  sekalian manusia, dengarkanlah kata-kataku ini ; Aku telah membaca kitab  Taurat,dalam kitab tersebut ada disebut bahawa seseorang yang bertaubat  dan dia benar-benar bertaubat di atas segala dosa dan kesalahannya maka  benar atau tidaknya dia bertaubat dapat dilihat dalam dua  perkara.Pertama dia boleh memerintahkan gunung bergerak dan kedua dia  boleh menukarkan tanah liat menjadi emas.Jadi aku menyuruh lelaki ini  melakukan dua perkara tersebut untuk mengetahui kebenaran bahawa dia  benar-benar bertaubat atau tidak.Sekarang barulah aku tahu bahawa lelaki  ini benar-benar telah bertaubat dan taubatnya telah diterima oleh  Tuhan, dia sudah menjadi orang yang baik dan mulia”
Semoga  cerita diatas  dapat  memberi  pengajaran kepada kita semua.  Sesungguhnya permohonan taubat nasuha yang benar benar ikhlas dari lubuk  hati, dengan penuh penyesalan dan berazam dengan bersungguh-sungguh  untuk meninggalkan perkara atau perbuatan keji akan mendapat keampunan  dari Allah swt kerana Allah swt itu sangat Pengasih lagi amat Penyayang  terhadap makhlukNya.
from here :)
 

 
No comments:
Post a Comment